​SIARAN MEDIA
                                                    

SIRIM LABUHKAN 20 TUKUN INOVASI DI PERAIRAN TELOK MAS, MELAKA

                 

MELAKA, 22 OGOS 2024: SIRIM Berhad dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Negeri Melaka (LKIM) telah melabuhkan 20 unit tukun inovasi ke dasar laut di perairan Telok Mas hari ini sebagai usaha mewujudkan habitat ikan yang baru serta membantu nelayan mempertingkatkan hasil tangkapan.               

 

Penyaluran peruntukan dana sebanyak RM160,500.00 oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sebuah yayasan di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) menerusi program Inisiatif Inovasi Sosial (MyIS Komuniti) bagi merealisasikan pembangunan tukun inovasi ini dan seterusnya memberi manfaat secara terus kepada nelayan setempat. 

Tukun inovasi yang dilabuhkan adalah mesra alam kerana menggunakan bahan campuran seramik dan konkrit. Sifat bahan seramik yang ‘inert’ atau bersifat neutral di mana tidak mudah bertindak balas dengan persekitaran yang tidak akan menjejaskan sistem eko marin, malahan dapat membantu menarik pengumpulan dan pembiakan ikan di persekitaran.

Majlis Melabuhkan dan Penyerahan Projek Tukun di perairan Telok Mas telah disaksikan oleh YB Datuk Fairul Nizam Roslan, EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka dan Ir. Ts. Dr. Muhammad Izzal Ismail, Ketua Pegawai Teknologi SIRIM Industrial Research, mewakili Dato’ Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad.

Turut hadir Nor Haswani Kamis, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembudayaan Dan Perkhidmatan STI MOSTI, Nur Fadzlina Mahamad Razi, Naib Presiden Yayasan Inovasi Malaysia, Nor Izati Abdul Karim, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Melaka, dan Kamarulzaman Ahamad Zainudin, Pengarah SIRIM Negeri Melaka,.

Dato’ Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dr. Muhammad Izzal Ismail berkata projek pembangunan tukun inovasi yang menggunakan bahan mesra alam ini telah bermula pada 1 September 2023 adalah selaras dengan komitmen SIRIM dalam melaksanakan prinsip berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memelihara alam sekitar..

“Pembangunan tukun inovasi oleh penyelidik SIRIM adalah satu langkah inovasi untuk menggalakkan pertambahan populasi marin di sesuatu kawasan secara langsung meningkatkan taraf ekonomi nelayan setempat” tambah beliau.

Ketua Projek, Ahmad Hafiz Abu Hasan berkata, pemilihan Perairan Telok Mas sebagai lokasi melabuhkan tukun inovasi adalah kerana kawasan tersebut belum terjejas dengan pembangunan projek tambakan dan aktiviti pelabuhan.

Selain Melaka, tukun inovasi telah dilabuhkan di beberapa tempat sekitar perairan Malaysia seperti Pulau Kendi di Pulau Pinang; Pulau Kapas, Setiu dan Pulau Perhentian di Terengganu, serta Batu Sapi dan Pulau Sebatik di Sabah.

## ​​​

​​MENGENAI SIRIM​

SIRIM Berhad, anak syarikat Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberi tumpuan kepada Penyelidikan Perindustrian, Pembangunan Teknologi dan Pengkomersilan; Pensijilan, Pengujian dan Pemeriksaan; Pengukuran dan Penentukuran; Latihan; Penyelidikan dan Pembangunan Standard; Keusahawanan berasaskan Teknologi; dan Perundingan Reka bentuk.

SIRIM Corporate Website

For latest news, follow SIRIM Berhad social media accounts:

Perhubungan Media SIRIM Berhad:

SIRIM is an agency under the purview of the Ministry of Investment, Trade and Industry (MITI).

Disclaimer | Privacy Policy

Copyright © 2025 SIRIM BERHAD (Company No. 199501038272). All rights reserved.