SIARAN MEDIA
Untuk Keluaran Segera
SHAH ALAM, 14 November 2025: SIRIM mengumumkan perlantikan rasmi anak syarikatnya, SIRIM QAS International, sebagai Badan Penentusahan dan Pengesahan (VVB) bagi Organisasi Gas Rumah Hijau (GHG). Pelantikan ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh daya saing hijau Malaysia serta membantu industri tempatan memenuhi keperluan Carbon Border Adjustment Mechanism (CBAM) Kesatuan Eropah dan komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris.
SIRIM QAS International kini berperanan mengesahkan pelaporan pelepasan GHG dan projek pengurangan karbon organisasi berpandukan standard antarabangsa termasuk ISO 14064-1, ISO 14064-2 dan Verified Carbon Standard (Verra). Langkah ini memastikan integriti dan kebolehpercayaan data karbon negara serta memudahkan penyertaan syarikat Malaysia dalam pasaran perdagangan karbon global.
Sehingga Oktober 2025, lebih 14,000 syarikat telah diperakui di bawah pelbagai skim kelestarian oleh SIRIM QAS International satu pencapaian yang bukan sahaja mencerminkan kepercayaan industri terhadap kepakaran SIRIM, tetapi juga memudahkan syarikat mengakses pasaran dan pelaburan hijau, sejajar dengan peningkatan permintaan global terhadap produk serta rantaian bekalan berasaskan prinsip kelestarian.
Majlis pengumuman perlantikan rasmi ini telah disempurnakan oleh Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi, Pengerusi SIRIM Berhad dan Nik Sazali Nik Hussin, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM.
Dalam ucapannya, Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi menyatakan, "Pelantikan ini juga sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. Dasar-dasar utama seperti Dasar Perubahan Iklim Negara, Dasar Tenaga Negara 2022–2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) menuntut pelaksanaan konsisten dan sistem pelaporan yang dipercayai”.
Sebagai kesinambungan kepada komitmen tersebut, majlis itu turut menyaksikan perasmian SIRIM Sustainability Day, satu inisiatif tahunan yang bertujuan memupuk budaya kelestarian serta mempercepatkan penerapan amalan mesra alam dalam ekosistem industri negara. Inisiatif ini memperkukuh komitmen holistik SIRIM dalam menerajui agenda kelestarian dan transformasi hijau negara.
Perjalanan transformasi kelestarian SIRIM menyelaras inisiatif karbon dan pelaporan GHG Kumpulan dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2024-2027, yang menyasarkan pengurangan intensiti karbon sebanyak 20% menjelang 2027 dan sifar bersih karbon menjelang 2050.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan ini, SIRIM telah menjalankan Penilaian Perakaunan GHG bagi tahun 2023 dan 2024 yang merangkumi semua operasi. Di samping itu, lebih 120 inisiatif kecekapan tenaga telah dilaksanakan, menjana penjimatan kira-kira RM500,000 setahun.
Dengan kepakaran teknikal dan kredibiliti SIRIM, industri tempatan kini lebih bersedia memenuhi keperluan pematuhan global, mengekalkan daya saing eksport dan meningkatkan keyakinan pelabur – sekali gus menyokong pembangunan ekonomi mampan negara.
###
MENGENAI SIRIM
SIRIM Berhad, anak syarikat Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberi tumpuan kepada Penyelidikan Perindustrian, Pembangunan Teknologi dan Pengkomersilan; Pensijilan, Pengujian dan Pemeriksaan; Pengukuran dan Penentukuran; Latihan; Penyelidikan dan Pembangunan Standard; Keusahawanan berasaskan Teknologi; dan Perundingan Reka bentuk.
SIRIM Corporate Website
FoUntuk berita terbaru, ikuti akaun Sosial Media SIRIM Berhad:
Perhubungan Media SIRIM: