SIARAN MEDIA

SIRIM DAN MRM LANCAR INISIATIF PERSIAPKAN INDUSTRI REKA BENTUK

KE ARAH INDUSTRI 4.0

KUALA LUMPUR, 6 OGOS 2020: Usaha untuk mempersiapkan transformasi industri-industri di Malaysia ke arah Industri 4.0 diteruskan dengan pelaksanaan tiga inisiatif baharu yang berfokuskan kepada pembangunan industri reka bentuk – pensijilan Certified Industrial Designer (CID); Pertandingan Kempen Kreatif COVID-19 dan portal digital SIRIM 3D Printing Market Place. Program-program ini adalah usahasama SIRIM dan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) yang kedua-duanya merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pembuatan; meningkatkan produktiviti nasional; mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan keupayaan dan daya saing inovasi industri tempatan.

Sejajar dengan Industry4WRD, iaitu polisi negara berkenaan Industri 4.0 bagi transformasi digital sektor pembuatan dan perkhidmatan, Majlis Pelancaran CID, Penyampaian Hadiah Kempen Kreatif Covid-19 dan Pelancaran SIRIM 3D Printing Marketplace telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong hari ini di SIRIM Bukit Jalil, yang turut menempatkan ibupejabat MRM.

Datuk Lim Ban Hong berkata, MITI sebagai Kementerian yang bertanggungjawab untuk kluster ekonomi, berperanan menyelaras semua agenda pembangunan sektor industri seperti sektor perkilangan dan perkhidmatan dan turut memainkan peranan dalam menyelaras agenda pembangunan bagi industri reka bentuk negara.

“SIRIM dan MRM memainkan peranan yang penting di dalam menambah nilai keupayaan industri reka bentuk perindustrian negara. Justeru, program-program yang dilancarkan ini akan mampu memberi pendedahan tentang kepentingan pengaplikasian reka bentuk produk-produk yang berkualiti tinggi, moden dan boleh diintegrasikan dengan teknologi Industri 4.0," kata beliau.

CID yang diperkenalkan oleh MRM ialah pensijilan bagi program untuk pereka bentuk perindustrian. Pensijilan ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Projek Reka Bentuk Perindustrian yang dikawalselia oleh SIRIM.

MRM menjangka sebanyak 500 permohonan diterima bagi pensijilan ini pada Oktober dan mensasarkan 200 pereka industri bakal menerima pensijilan pada tahun ini. Penerima CID akan dinilai oleh Lembaga Pereka yang dilantik.

Pensijilan ini antaranya bertujuan menetapkan kerangka kerja bagi menilai tahap kompetensi dan komitmen pereka industri profesional; membangunkan dokumen rasmi dan panduan yang komprehensif bagi mana-mana pihak yang terlibat dalam pembelajaran dan latihan dalam reka bentuk industri; dan menjadi asas pembentukan program latihan berterusan dan peluang pembelajaran.

CID juga akan menjadi penanda aras tahap kompetensi pereka bentuk industri profesional berbanding pensijilan yang diperakui badan profesional yang lain serta menjadi asas rujukan bagi semua organisasi yang ingin mendapatkan pensijilan untuk pereka bentuk industri.

Pertandingan Kempen Kreatif COVID-19 oleh MRM pula telah bermula pada 7 hingga 29 Mei baru-baru ini, dan menerima sebanyak 372 penyertaan dari seluruh negara. Pertandingan ini dibuka kepada dua kategori iaitu video pendek dan poster digital.

Pengurus Besar MRM, Prof Madya Dr Mohamad Hariri Abdullah berkata, reka bentuk yang baik bukan sekadar untuk menarik perhatian pengguna tetapi juga untuk menyampaikan persona mesej produk yang berkualiti.

“Untuk itu, peranan pereka bukan sekadar untuk menzahirkan idea yang ditransformasi kepada design tetapi memerlukan kreativiti serta pengetahuan untuk mewujudkan 'attachment and emotion bonding' di antara produk dan pengguna. Design yang baik memerlukan masa dan perancangan penyelidikan yang intensif supaya kita tidak terikut-ikut dengan budaya menciplak. Seharusnya pereka dan pengeluar tempatan perlu mengamalkan konsep Creating Own Design As Own Brand yang telah dipromosikan oleh MRM," katanya.

My3D Printing Marketplace (My3DPM) pula adalah platform digital yang dibangunkan dengan kerjasama Pusat Inovasi Industri dalam Pembuatan Pintar SIRIM dengan syarikat tempatan, Digital Data Sdn Bhd, bagi membantu pereka menterjemahkan idea dan rekaan mereka dalam bentuk sebenar dengan menggunakan teknologi percetakan 3D. 

Portal My3DPM yang mula dibuka sejak Mac 2019 turut menjadi medium kepada pereka bebas, usahawan teknologi dan syarikat pembuatan untuk berhubung dan berkongsi idea dalam industri reka bentuk, teknologi dan pembuatan. 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ir. Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, pengguna portal bukan sahaja boleh mengakses rekaan yang dikongsi di portal ini, malahan mereka juga boleh memuat naik serta memuat turun data yang dikongsi di portal ini.

“Sehingga kini, sebanyak 12,865 capaian telah diterima dan seramai 33 pereka telah memuat naik rekaan mereka, di mana 180 rekaan telah dimuat naik dan 18 orang telah mencetak rekaan mereka menggunakan portal ini.

Portal digital 3D Printing Marketplace ini boleh dilayari di my3dpm.com ​

CERTIFIELD INDUSTRIAL DESIGNER & PELANCARAN 3D PRINTIN (71).jpg 

Pengarah Pusat Inovasi Industri dalam Pembuatan Pintar SIRIM, Dr Mohd Shahrul Azmi Mohamad Yusoff (kanan) menerangkan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkenaan replika tengkorak yang dicetak menggunakan teknologi percetakan 3D, sambil disaksikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani (dua dari kanan) semasa Majlis Pelancaran Certified Industrial Designer, Penyampaian Hadiah Kempen Kreatif COVID-19 dan Pelancaran SIRIM 3D Printing Marketplace di SIRIK Bukit Jalil, hari ini. 


 ​

​​End
​​