SIARAN MEDIA

                     

 

 

TIGA BUAH SEKOLAH ORANG ASLI MENERIMA SUMBANGAN KELENGKAPAN PERSEKOLAHAN

 

 

SEPANG, 18 Dis 2019: Seramai 362 anak-anak orang asli daripada tiga buah sekolah orang asli di daerah Sepang telah menerima bantuan kelengkapan persekolahan di sini, hari ini.

Tiga buah sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (Asli), Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (Asli) dan Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong (Asli), di mana majlis penyampaian telah dilaksanakan secara serentak di tiga buah kampung, iaitu di Kampung Sungai Melut, Kampung Bukit Tampoi dan Kampung Bukit Bangkong.

Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad berkata, sebagai sebuah badan korporat yang prihatin, SIRIM Berhad telah memilih untuk memberikan komitmen untuk meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli di beberapa kampung di Daerah Sepang.

“Dengan hasrat untuk berkongsi rezeki dengan membantu menyediakan persediaan peralatan persekolahan anak-anak dari masyarakat Orang Asli melalui Program 'Back to School' ini, diharapkan bantuan ini dapat membawa keriangan kepada anak-anak untuk kembali ke sekolah selain memberi galakan kepada mereka agar lebih bersemangat menimba ilmu dan lebih berjaya di masa hadapan," katanya.

Menurutnya, SIRIM telah menyediakan kelengkapan yang akan dimanfaatkan oleh 500 pelajar, mulai dari anak-anak prasekolah berusia lima tahun sehinggalah kepada anak-anak tahun 6.

Katanya lagi, bermula tahun hadapan, SIRIM juga berhasrat untuk membantu pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, PT3 dan SPM. Bagi tujuan tersebut, SIRIM akan membuat 'crowd funding', di mana dananya akan dikumpulkan daripada sumbangan peribadi kakitangan Kumpulan SIRIM.

“Dana ini akan digunakan untuk menaja kelas-kelas tambahan bagi subjek-subjek yang bersesuaian dengan keperluan para pelajar tersebut. Untuk menggalakkan penyertaan para pelajar, kelas-kelas tersebut akan dijalankan di National Metrology Institute of Malaysia atau NMIM yang terletak di Sepang," katanya.