​ ​
​SIARAN MEDIA
                           

SIRIM INVENTION, INNOVATION & TECHNOLOGY EXPO 2022 BUDAYAKAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI

                 

KULIM, 21 Julai 2022 : SIRIM Berhad menganjurkan SIRIM Invention, Innovation and Technology Expo (Si2TE) 2022, sempena SIRIM Industrial Engagement Day, Northern Chapter bermula 19 hingga 21 Julai 2022, bagi membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan masyarakat.

 

Si2TE 2022 yang kini telah masuk tahun keempat penganjurannya merupakan pertandingan yang mengetengahkan hasil penyelidikan dan produk-produk yang dibangunkan oleh pemain industri dan penyelidik Malaysia. Program tiga hari itu, melibatkan peserta dalam kalangan penyelidik, ahli akademik dan industri, pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi dan juga syarikat swasta.

 

Anugerah yang dipertandingkan adalah Si2TE Best of the Best yang telah dimenangi oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj);Pencipta Muda Terbaik kategori Sekolah Rendah dimenangi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Wellesley, Lunas, Kedah; Pencipta Muda Terbaik Kategori Sekolah Menengah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Lebai Man, Sungai Petani, Kedah; Anugerah Terbaik TVET dimenangi Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, Kedah; dan  Anugerah Terbaik Profesional dimenangi MPKj.  

 

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail. Hadir sama, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato' Dr Ahmad Sabirin Arshad.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato' Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata, Si2TE 2022 telah menerima sebanyak 173 penyertaan pada tahun ini, selepas berehat selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.

 

“Daripada jumlah tahun ini sebanyak 17 penyertaan dari sekolah rendah, 72 penyertaan dari sekolah menengah dan 48 dari institusi pengajian tinggi manakala dua penyertaan dari industri dari seluruh negara," katanya.

 

Sementara itu, SIRIM Industrial Engagement Day, Northern Chapter bertujuan untuk mendekatkan lagi SIRIM dengan komuniti industri, pendidikan dan masyarakat awam agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada ketiga-tiga komuniti ini.

 

“Pelbagai program menarik telah dianjurkan sepanjang Hari Terbuka SIRIM Wilayah Utara antaranya Si2TE, Borak Teknikal, Technology Pitching oleh Kumpulan SIRIM, Bengkel Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada murid sekolah, food truck dan lain-lain," kata Dato' Dr Ahmad Sabirin.

 

Pada majlis yang sama, Datuk Dr Ku Abdul Rahman turut menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIRIM Berhad bersama dua syarikat iaitu Easy Pack Machinery Sdn. Bhd dan Beno Technologies Sdn. Bhd.

 

SIRIM dan Easy Pack Machinery Sdn. Bhd akan bekerjasama dalam membangunkan program 3R (Refurbish, Repair and Resell) mesin pemprosesan makanan dan teknologi pembungkusan untuk makanan dan minuman.

 

Manakala, kerjasama bersama syarikat Beno Technologies Sdn. Bhd melibatkan usaha sama teknikal dalam membangunkan penyelidikan, teknologi dan pembuatan basikal serta motosikal elektrik khusus pada pembangunan bateri.

 

Dato' Dr Ahmad Sabirin berharap melalui persefahaman itu, ia  akan menjadi pencetus kepada lebih banyak kerjasama terutama dalam bidang teknologi dan inovasi.​


 

## ​​​​​​