​​​​​ 

​ ​

SIARAN MEDIA

​​​​​

SIRIM STS, UTeM METERAI MoU BENTUK KERJASAMA STRATEGIK ​DALAM LATIHAN PROFESIONAL


SHAH ALAM, 2 Mei 2023: Anak syarikat milik penuh SIRIM, SIRIM STS Sdn Bhd hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam bidang latihan profesional.

​Melalui persefahaman ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan modal insan dengan menyediakan latihan, perundingan dan khidmat nasihat berkualiti tinggi, khususnya kepada warga kerja dan pelajar UTeM, di bawah SIRIM Personnel Certification Programmes (SPCP) serta melatih dan membina kepakaran tempatan dalam bidang kualiti dan amalan terbaik untuk memenuhi permintaan industri.

Individu yang berjaya menamatkan program ini akan diberi pengiktirafan profesional, Certified Quality Management System Executive (CQMSE), individu yang menerima pentauliahan ini berpengetahuan dan berkebolehan dalam Sistem Pengurusan Kualiti (QMS), mereka turut bersedia untuk menyumbang kepada organisasi dalam bidang kualiti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama pintar ini dapat melahirkan graduan yang berkualiti dan lebih profesional yang dapat menyumbang kepada pertumbahan modal insan negara yang berdaya saing.​

“Pastinya kerjasama ini sejajar dengan usaha melahirkan siswazah yang mempunyai nilai tambah sebagai profesional diperakui dan seterusnya membantu pertumbuhan modal insan industri tempatan, ke arah menjadikan mereka lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

“Saya berharap semoga lebih banyak kerjasama seperti SIRIM STS dan UTeM dapat dijalankan di masa hadapan untuk kebaikan pembangunan modal insan dan seterusnya menyumbang sumber tenaga terlatih kepada negara,” katanya.​

Majlis MoU tersebut telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad manakala UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, UTeM, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim, di Ibu Pejabat SIRIM Berhad, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, UTeM, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, kerjasama antara UTeM dan SIRIM STS mampu menyokong usaha universiti untuk melahirkan graduan profesional yang bertauliah di samping mengembangkan modal insan negara industri tempatan agar lebih berdaya saing di peringkat global yang akan membantu graduan muda untuk mengukur, menganalisis dan menambah baik pengurusan kualiti dan penambahbaikan dalam organisasi masing-masing.

“Melalui MoU ini, kedua- dua pihak akan membangunkan modul program profesional bertauliah untuk kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan pendekatan baru melalui perkongsian pengetahuan.

“Kerjasama ini juga akan memberi peluang kepada warga kerja UTeM untuk mempertingkatkan kemahiran mereka bagi mendepani keperluan pasaran yang mencabar, pensijilan SIRIM STS melalui program ini akan memenuhi standard dan kualiti industri yang dipacu teknologi,” katanya.

SIRIM STS adalah pusat sumber sehenti utama bagi perkhidmatan berkaitan pembangunan Standard Industri SIRIM dan penyedia latihan bagi meningkatkan kemahiran teknologi dan kompetensi modal insan industri. Syarikat ini juga adalah pusat pertanyaan kebangsaan mengenai halangan teknikal dalam perdagangan (WTO Technical Barriers to Trade), dan menyokong perkembangan pengetahuan dalam bidang teknikal melalui Perpustakaan Teknikal SIRIM.​


 

##​#