SIARAN MEDIA

                     

 

UNIT SISTEM PENGUKURAN BARU DIPERKENALKAN UNTUK MENENTUKUR ALAT PENGUKURAN PANJANG BERSKALA BESAR

Sempena sambutan Hari Metrologi Sedunia

 

 

 

SEPANG, 19 Dis 2019: Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM hari ini memperkenalkan unit sistem 25 m standard fizikal panjang  yang mampu untuk menentukur alat pengukuran panjang berskala besar sehingga 100 m panjang bagi memenuhi keperluan Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675) dan Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

Sistem standard pengukuran baru ini berupaya meminimumkan ralat pengukuran sebanyak 0.002 peratus dari ukuran panjang perbandingan yang menggunakan 1 m standard fizikal panjang sedia ada. Kemudahan tentukuran tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking pada sambutan Hari Metrologi Sedunia di sini, hari ini.

Tema Hari Metrologi Sedunia pada pada tahun ini ialah “The International System of Units - Fundamentally Better". Ia dipilih selaras dengan perkembangan dunia teknologi dan persekitaran yang berkembang pesat dan berubah secara dinamik. Ia juga menggambarkan cabaran dalam menentukan pengukuran yang tepat bagi penentuan kuantiti dinamik yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak prosumer (Producer and Consumer).

Datuk Darell berkata keperluan kepada pengukuran yang tepat merupakan subjek yang amat penting di peringkat global yang telah dipersetujui semua pihak dan diperlukan untuk menyokong keputusan yang boleh dipercayai dalam bidang sains, perdagangan, kesihatan, keselamatan, pemantauan alam sekitar dan inovasi.

“Di negara-negara maju, pengukuran yang tepat telah diberikan perhatian yang serius kerana peranannya dalam penciptaan kekayaan dan peningkatan kualiti hidup, Malaysia juga tidak terkecuali.

“Penggunaan metrologi atau sains pengukuran bagi memastikan pengukuran yang tepat dan stabil merupakan faktor utama yang akan menentukan perubahan teknologi terkini yang memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Ia juga akan membantu dalam penyediaan perkhidmatan serta menjamin prinsip keadilan dalam setiap transaksi di pasaran," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan), Hairil Yahri Yaacob.

Tambah Darell lagi, Malaysia perlu bersedia bergerak seiring dengan negara maju yang lain, terutama dari segi kemahiran teknikal peringkat tinggi dan kemudahan yang mencukupi untuk bersaing dalam keupayaan pengukuran.

“Sebagai usaha membangunkan National Quality Infrastructure (NQI) yang efisien dan termaju, empat aspek utama iaitu Metrologi, Standard, Akreditasi dan Penilaian Pematuhan perlu membangun secara seiring.

“Ini bagi menghalang pasaran domestik negara dijadikan tempat lambakan produk yang tidak berkualiti dan substandard, jika ini berlaku, ia boleh menjejaskan pembangunan perindustrian negara serta membawa kesan negatif kepada keselamatan dan kesejahteraan pengguna," katanya.

NMIM mempunyai peranan penting di dalam menyebarkan kebolehberkesanan pengukuran ke seluruh Malaysia berasaskan kepada Unit Sistem Antarabangsa.  Tanggungjawab ini adalah besar bagi memastikan bahawa infrastruktur pengukuran negara mematuhi dan bersesuaian dengan pengukuran global.

Bermula 30 Ogos 2007, NMIM telah dilantik sebagai Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan di bawah Seksyen 10 (a) Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675) untuk melaksanakan mandat Kerajaan iaitu “untuk merealisasi, menyenggara dan menyebabkan supaya disenggarakan Standard Pengukuran Kebangsaan dan Bahan Rujukan Diperakui".

Manakala di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, NMIM bertanggungjawab melaksana secara penuh fungsi Penyimpan Timbang dan Sukat untuk melindungi kepentingan pengguna melalui perdagangan dengan penyelesaian inovatif dalam metrologi perundangan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata NMIM telah membangun dan menubuhkan 350 standard fizikal dan bangunan kimia untuk menyokong pengukuran dalam bidang perdagangan, perubatan, pendidikan, metrologi perundangan, industri, kesihatan, keselamatan, alam sekitar, penguatkuasaan aktiviti pemetaan & ukur, pengangkutan serta kastam & percukaian.

Katanya, dalam tempoh 2006 hingga 2019, NMIM juga telah menyebar kebolehkesanan pengukuran (measurement traceability) melalui:

  • Penerbitan 118 Calibration and Measurement Capabilities (CMCs) yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa di laman sesawang International Bureau of Weights and Measures (BIPM) yang berpusat di Paris,
  • Tentukuran dan penentusahan lebih daripada 65,000 peralatan pengukuran yang digunakan di Jabatan dan Agensi Kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian, makmal tentukuran luar negara dan industri,
  • Kelulusan bagi 300 buah prototaip peralatan untuk digunakan dalam aktiviti perdagangan dan penguatkuasaan, dan
  • Latihan teknikal kepada lebih 1500 staf teknikal dari Jabatan Kerajaan, swasta, ahli akademik, makmal penentukuran antarabangsa, industri dan institusi Metrologi Kebangsaan negara sedang membangun di Asia melalui kursus pengukuran yang merangkumi sesi teori dan praktikal.

    Menurutnya lagi, NMIM turut menghasilkan lebih daripada 30 tenaga pakar bagi menyenggara tujuh Unit Sistem Antarabangsa antaranya Standard Jisim 1 kg, Standard Panjang 1 m dan Standard 1 saat untuk Waktu Standard Malaysia serta unit-unit terbitan yang lain seperti Standard Tekanan, Standard Kuasa dan Standard Suhu Celsius.