​ ​
SIARAN MEDIA
                           

SIRIM LANCAR MAKMAL PENGUJIAN DAPUR GAS DOMESTIK DI SARAWAK

Pengujian dan penilaian dilaksanakan sebelum dipasarkan bagi melindungi keselamatan pengguna

                 

KUCHING, 8 NOV 2022: SIRIM Berhad peneraju penyelesaian teknologi dan kualiti hari ini melancarkan Makmal Pengujian Dapur Gas Domestik bagi membantu kerajaan negeri merancakkan pembangunan industri gas dan melindungi keselamatan pengguna di Sarawak.

 Makmal pengujian yang terletak di Demak Laut, di sini, telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Julaihi Nawawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

Makmal pengujian dapur gas domestik ini dikendalikan oleh SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad yang telah dilantik oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sebagai badan kawal selia yang mengendalikan ujian dapur gas domestik di negeri berkenaan.

Menurut Datuk Haji Julaihi Nawawi, pembangunan makmal ini dapat memastikan setiap peralatan diuji dan dinilai oleh SIRIM QAS International sebelum ia dipasarkan dan digunakan oleh rakyat di negeri Sarawak.

“Saya juga menggesa para penggiat industri di negeri ini, terutama pengimport barangan Dapur Gas Domestik agar terus melaksanakan pengujian ke atas produk mereka yang kini boleh dilaksanakan di Kuching, Sarawak tanpa perlu menghantar ke Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan SIRIM terus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi di Sarawak dan bekerjasama dengan Agensi dan Kerajaan Negeri untuk merancakkan semua sektor industri di negeri berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato' Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, SIRIM memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pelanggan sebagai pengguna akhir yang menggunakan dapur gas domestik.

“Keselamatan amat penting kerana perkakas gas yang rosak atau salah dipasang boleh menyebabkan kebakaran, kebocoran gas dan juga letupan. Semua peralatan gas yang dipasarkan di negara ini wajib menjalani ujian untuk memastikan keselamatan penggunaanya kepada pengguna.

“Mengikut Akta Bekalan Gas, Peraturan 2017 juga menghendaki semua peralatan gas domestik yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) dilekatkan label SIRIM sebelum dipasarkan," katanya.

SIRIM, sebagai badan kawal selia yang mengendalikan pengujian dapur gas domestik memainkan peranan penting dalam memastikan semua dapur gas domestik di pasaran adalah selamat.

Sementara itu, SIRIM dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangukan usahawan di bawah naungan SEDC, serta menyediaan platform bagi latihan dan perundingan.  MoU ini juga berhasrat untuk membangunkan pensijilan bagi perkhidmatan produk dan pembangunan insan

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Dato' Indera Dr Ahmad Sabirin yang mewakili SIRIM manakala SEDC diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.

##​#