​​SIARAN MEDIA

JABATAN PERIKANAN MALAYSIA DAN SIRIM LABUHKAN LAPAN UNJAM HIBRID DI BAGAN NAKHODA OMAR, SABAK BERNAM

                 

SABAK BERNAM, 24 NOV 2022: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan SIRIM Berhad melabuhkan kira-kira lapan unjam hibrid di perairan Bagan Nakhoda Omar, di sini, pada hari ini sebagai usaha memperkayakan hidupan laut serta membantu nelayan mempertingkatkan hasil tangkapan.

 

 

Penyaluran peruntukan sebanyak RM 300,000.00 oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Jabatan Perikanan Negeri Selangor bagi merealisasikan pembangunan unjam hibrid ini dan seterusnya memberi manfaat secara terus kepada nelayan setempat.

 

DOF komited dalam memastikan pengurusan dan pembangunan industri perikanan Negara dilaksanakan secara mampan selaras dengan SDasar Agromakanan Negara 2021-2030. Pembangunan unjam hibrid bersama pihak SIRIM Berhad ini adalah sebagai satu langkah inovasi bagi mewujudkan suatu peranti pengumpul ikan (FAD) yang lebih efisien dan sesuai untuk menjadi habitat baru ikan. Unjam ini diharap akan dapat memangkin peningkatan pendaratan ikan dan mampu meningkatkan taraf ekonomi nelayan setempat.

 

Pada Tahun 2021, Negeri Selangor mencatatkan pendaratan ikan sebanyak 167,587 tan metrik ikan dengan nilai sebanyak RM1.5 billion. Pendaratan ini menyumbang sebanyak 12.6 peratus dari nilai keseluruhan pendaratan ikan di Malaysia.

 

Sesuai dengan visi DOF iaitu “Peneraju Transformasi Perikanan Mampan dan Berdaya Saing", DOF berperanan sebagai tonggak utama kepada pengeluaran sumber protein utama negara yang menjadi pemangkin jaminan keselamatan dan kedaulatan makanan serta kesejahteraan rakyat dan negara.

 

Majlis Melabuhkan Unjam Hibrid di Perairan Sabak Bernam disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), YBrs. Tuan Haji Wan Muhammad Aznan Bin Abdullah, Naib Presiden Kanan, Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Encik Mohd Azanuddin Bin Salleh dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Puan Noraisyah Binti Abu Bakar.

 

SIRIM Berhad, agensi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah dilantik oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor untuk membekalkan dan melabuhkan unjam hibrid di perairan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.

 

Mohd Azanuddin berkata, projek membangunkan fabrikasi unjam hibrid telah bermula pada 15 September 2022 adalah selaras dengan komitmen SIRIM dalam melaksanakan prinsip berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memelihara alam sekitar.

 

“SIRIM komited untuk membantu syarikat dan organisasi di Malaysia melaksanakan ESG dalam  memberikan impak yang besar kepada reputasi syarikat atau organisasi mampu melonjakkan lagi prestasi mereka. Selain itu, usaha ini penting sebagai komitmen dan tanggungjawab kita terhadap persekitaran, pekerjaan dan komuniti," katanya.

 

Sejak tahun 2005, SIRIM Berhad telah menjalankan kajian bahan tukun dan mereka bentuk tukun yang boleh disesuaikan dengan kedalaman, jenis dasar serta kesesuaian lokasi penanaman tukun tersebut. Unjam hibrid merupakan reka bentuk baru yang ingin diketengahkan dwi-fungsinya.

 

Menurut Mohd Azanuddin lagi, unjam hibrid yang direka mempunyai dua komponen utama iaitu komponen bawah atau frame kuboid dan komponen atas iaitu appendage.  

 

“Selain berfungsi sebagai pemberat unjam, frame kuboid juga berperanan sebagai tempat perlindungan dan sumber makanan bagi jenis ikan dasar, manakala appendage pula berguna untuk menarik ikan pelagik datang ke unjam," katanya lagi.

 

Tukun yang telah dibangunkan oleh SIRIM Berhad telah dilabuhkan di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang; Pulau Kapas, Setiu dan Pulau Perhentian di Terengganu; Batu Sapi dan Pulau Sebatik di Sabah.

 

Sementara itu, tukun yang dilabuhkan di Pantai Puteri, Melaka, dijadikan sebagai struktur kombinasi pemecah ombak di bawah paras laut atau submerged wavebreaker. SIRIM Berhad juga telah membina dan melabuhkan tukun berbentuk Jata Johor di perairan Pulau Metinggi, Mersing, Johor.

             

##